Juara 33 kali, Selangor, akan memanfaatkan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berdepan Sri Pahang, untuk menyalakan semula rentak kemenangan The Red Giants seterusnya layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Malah tegas pengurus pasukannya, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berdepan skuad Tok Gajah kendalian bekas legenda bola sepak Singapura Fandi Ahmad itu juga peluang terbaik anak buah Katsuhito Kinoshi menghadiahkan pemain-pemain ke-12 Red Giants kemenangan.

“Ketika ini masa rehat panjang satu kelebihan kepada pasukan Pahang berbanding Selangor, namun saya percaya pemain-pemain berupaya menampilkan aksi terbaik masing-masing ditambah dengan kehadiran penyokong-penyokong setia.



“Dan kini sekali lagi menjadi tanggungjawab kepada pemain-pemain untuk melaksanakan dengan lebih berkesan dan konsisten corak permainan agresif yang diimplementasikan jurulatih Katsuhito Kinoshi.

“Perlawanan ini juga peluang terbaik pemain Selangor menghadiahkan kemenangan buat penyokong-penyokong selepas kita dikecewakan Muangthong United di Stadium MBPJ baru-baru ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Sebagai rekod, hasrat pengendali baharu Selangor, Katsuhito Kinoshi untuk menghadiahkan kemenangan sebagai ketua jurulatih baharu Red Giants kepada penyokong-penyokong tidak kesampaian apabila tewas tipis 1-2 kepada kelab liga Thailand, Muangthong United dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada Khamis lalu.


Jelas Mahfizul Rusydin, menjelang perlawanan itu juga barisan kejurulatihan telah melakukan penambakan terhadap beberapa kelemahan ketara terutama tindakan penyudah ketika tewas kepada Muangthong United.

“Pemain-pemain juga memberikan komitmen masing-masing dalam sesi latihan misi mempertahankan rekod di laman sendiri seterusnya layak ke pusingan seterusnya,” ujar Mahfizul Rusydin.

Saingan Piala Malaysia pula sebelum itu Selangor membawa bekalan satu gol dari Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, 23 November lalu tandukan Nikola Jambor memadamkan pendahuluan Pahang dijelmakan Sean Selvaraj pada separuh masa pertama. - Sinar Harian