REAL BETIS 0 MANCHESTER UNITED 1
(United ke suku akhir dengan agregat 5-1)


Marcus Rashford menjaringkan gol tunggal untuk Manchester United meraih kemenangan 1-0 ke atas Real Betis, sekali gus layak ke suku akhir Liga Europa (UEL) dengan agregat 5-1.

Pasukan bimbingan Erik ten Hag itu turun beraksi dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 berkenaan berbekalkan kelebihan 4-1 daripada pertemuan pertama di Old Trafford minggu lalu dan ia menyaksikan Betis berdepan misi hampir mustahil untuk menterbalikkan keadaan itu di Estadio Benito Villamarin awal pagi tadi.

Betis melakukan beberapa percubaan berbahaya dalam babak pertama, di mana dua daripadanya terkena tiang gol dan Juanmi pula gagal menewaskan penjaga gol United, David de Gea, dalam situasi satu lawan satu.

United memulakan babak kedua dengan aksi lebih dominan dan selepas percubaannya diselamatkan Rui Silva, Rashford akhirnya memecahkan kebuntuan itu pada minit ke-55 dengan melepaskan rembatan dari jarak 25 ela untuk menewaskan penjaga gol berkenaan.

Sebagai rekod, ia merupakan jaringan ke-27 Rashford dalam kesemua kejohanan sepanjang musim ini dan ia juga merupakan golnya yang ke-25 di peringkat Eropah.