Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, membakar semangat untuk menjelmakan kebangkitan ulangan seperti ketika pernah bertemu Barcelona bagi memastikan menghidupkan sisa harapan mereka dalam Liga Europa menentang Atalanta di Bergamo.

The Reds berdepan defisit 0-3 hasil pertemuan pertama sekiranya berhasrat ke separuh akhir, senario yang pernah menyaksikan kebangkitan memakau mereka untuk menewaskan pasukan Catalan itu dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) pada Mei 2019.

Selepas kemenangan itu, pemainnya menjelaskan bahawa ucapan di dalam bilik persalinan sebelum sepak mula sebagai titik tolaknya dan walaupun Klopp mengakui belum mempunyai sebarang perancangan, dia boleh menggunakan malam ajaib itu di Anfield itu sebagai rujukan.

"Saya biasanya tidak menyediakan perkara seperti itu, lebih-lebih ia sudah lama berlalu," katanya.



"Saya masih ingat bahawa ketika itu saya berkata, 'Jika gagal maka marilah gagal dengan cara yang paling indah'. Dan itulah cara saya melihatnya semula.

“Selepas perlawanan di stadium minggu lalu, itu sahaja saya yang fikirkan. Sekarang sudah seminggu saya tidak fikir keputusan ini sudah muktamad.

“Kami masih mahu memenangi perlawanan ini. Jika mahu menang, lebih baik kami beraksi dengan baik. Jika kami bermain bagus, kami mempunyai peluang untuk memenanginya. Kemudian kami akan lihat.”