MANCHESTER CITY 4 REAL MADRID 0
(City ke final dengan agregat 5-1)

Bernardo Silva menjaringkan dua gol dalam babak pertama ketika Manchester City mempamerkan aksi di kelas tersendiri membenam juara bertahan, Real Madrid, 4-0 untuk ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Eder Militao kemudian terjaring gol ke gawang sendiri sebelum Julian Alvarez menambah satu lagi jaringan pada lewat permainan untuk City memenangi perhitungan di Stadium Etihad itu dan mara ke final di Istanbul bulan menerusi kelebihan agregat 5-1.

Kemenangan City itu sudah dapat dijangkakan sejak dari awal permainan apabila juara Eropah 14 kali, Madrid, kelihatan sukar untuk menyaingi pergerakan yang dicorakkan Pep Guardiola.

Toni Kroos melakukan percubaan yang terkena palang gol ketika Madrid masih ketinggalan 0-1 tetapi pelawat jelas terlalu jarang dapat menggugat gawang tuan rumah.

Kemenangan itu turut menyaksikan City melunaskan dendam mereka ke atas Madrid di peringkat sama musim lalu dan akan mencongak perhitungan dengan Inter Milan dalam final selain turut berpeluang untuk melengkapkan gelaran 'treble' musim ini.