Jurgen Klopp tidak berilusi untuk menilai tugasan yang akan dilalui Liverpool untuk menterbalikkan defisit 2-5 menjelang perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Real Madrid awal pagi esok.

Selepas mendahului 2-0 dalam perlawanan pertama di Anfield, The Reds bagaimanapun gagal mengekang amukan Madrid, di mana vinicius Junior dan Karim Benzema, masing-masing menjaringkan dua gol, sambil Eder Militao turut menemui sasaran.

Ia menyaksikan Liverpool sekali lagi perlu mengharapkan keajaiban dalam UCL untuk layak ke suku akhir kejohanan itu, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk memenangi sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

Liverpool memiliki sejarah bangkit daripada ketinggalan tiga gol dalam perlawanan timbal balik. Mereka merupakan satu daripada hanya empat pasukan yang pernah melakukan perkara itu, di mana mereka bangkit daripada ketinggalan 0-3 sewaktu menghadapi Barcelona di Camp Nou dengan mencatatkan kemenangan 4-0 di Anfield dalam separuh akhir pada 2019.

Bagaimanapun, untuk melakukan perkara sama ke atas Madrid di Santiago Bernabeu, ia dilihat sesuatu yang amat sukar.

Bercakap dalam sidang media menjelang pertemuan itu, Klopp enggan memberikan sebarang harapan buat Liverpool, yang akan turun tanpa kelibat Jordan Henderson kerana masalah kesihatan, kerana peluang untuk mereka melakukannya kelihatan agak mustahil.

"Hanya ada 1 peratus peluang untuk saya mencubanya, kami berada di sini untuk menghadapi lawan yang teramat kuat dan mencuba untuk memenangi perlawanan ini.

"Sesukar mana pun ia, masih ada kemungkinannya. Kelihatan tidak mungkin tetapi masih boleh.

"Kami amat menghormati kejohanan ini, kami amat menghormati lawan kami dan tidak mahu terlalu berharap dalam perlawanan ini," katanya.