Pep Guardiola berkata rasa sakit sewaktu disingkirkan dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu telah mendorong Manchester City untuk mara ke final edisi ini dengan kemenangan bergaya ke atas Real Madrid awal pagi tadi.

City menempah pertembungan final dengan Inter Milan di Istanbul pada 10 Jun ini selepas mempamerkan aksi di kelas tersendiri dengan penuh kemahiran, kekuatan dan kebijaksaaan di Stadium Etihad untuk menyingkirkan juara bertahan, Madrid.

Kedua-dua pasukan itu terikat 1-1 dalam separuh akhir pertama di Madrid minggu lalu tetapi kali ini, mereka membelasah 'raja' UCL itu 4-0 dengan Bernardo Silva menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama sebelum Eder Militao terjaring bola ke gawang sendiri dan pemain gantian, Julian Alvarez, meledakkan gol keempat City dalam waktu kecederaan.

Kemenangan agregat 5-1 itu menyaksikan City menebus kehampaan selepas disingkirkan Madrid di peringkat sama musim lalu, berselang setahun selepas mereka tewas kepda Chelsea dalam final UCL 2021.

"Baiklah, saya dapat rasakan perasaan bercampur baur ini beberapa hari lalu dengan rasa tenang dan tekanan untuk melalui perlawanan seperti ini," kata Guardiola, yang pasukannya tewas 5-6 secara agregat kepada Madrid musim lalu.

"Selepas 10 atau 15 minit, saya dapat rasakan kesemua rasa sakit yang kami alami selama setahun selepas apa yang berlaku pada musim lalu itu.

"Ia memang sesuatu yang sukar dan mencabar musim lalu apabila kami beraksi dengan cara yang hampir sama dengan hari ini dan saya masih ingat Toni Kroos bercakap dalam satu temu bual bahawa mereka boleh tewas 1-10 atau 2-10 di Stadium Etihad.

"Kroos merupakan antara pemain terbaik pernah saya lihat dan pernah saya latih dan apabila dia berkata seperti itu, ia bermakna kami sudah di tahap itu dan ia benar-benar sukar apabila kami tewas dengan cara sedemikian.

"Pada ketika itu, kami terpaksa menelan racun berkenaan tetapi bola sepak dan sukan sentiasa memberikan anda peluang lain.

"Apabila kami terikat di Madrid, saya katakan 'baiklah saya mahukannya'. Saya mahukannya kerana saya rasakan hari ini, segalanya sudah tersedia buat kami -- tenaga yang kami peroleh sepanjang setahun dikritik sebagai pemain yang tidak berperwatakan sewaktu kami tewas kerana inilah bola sepak.

"Hari ini, ia sudah di tahap itu dan saya gembira dengan segalanya secara satu organisasi -- buat pengerusi, pemilik, staf dan terutama buat pemain kerana kami menerima kekalahan lalu dan hari ini kami berada di sini," katanya.