Kevin de Bruyne dan Aymeric Laporte terlepas pertembungan di antara Manchester City dan RB Leipzig berikutan dilanda masalah kesihatan, demikian pengesahan dibuat Pep Guardiola.

Justeru, De Bruyne dan Laporte tidak tersenarai untuk menghadapi perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) di Jerman, awal pagi esok.

Pengurus City itu tidak pasti adakah kedua-dua pemain tersebut yang bermula ketika menentang Nottingham Forest akan kembali untuk perlawanan hujung minggu ini di Bournemouth.

Ketiadaan itu memaksa Guardiola merombak kesebelasan utamanya biarpun dia sendiri mengundang rasa ingin tahu selepas menamakan pemain tengah, Bernardo Silva, sebagai bek kiri.



Fabian Delph dan Oleksandr Zinchenko pernah mengisi peranan itu tetapi Silva nyata bergelut ketika cuba mengekang tonggak Arsenal, Bukayo Saka, kemudian terperangkap dengan jaringan penyamaan Forest hujung minggu lalu.

Guardiola berkata dia tidak begitu bodoh untuk memikirkan Bernardo adalah pertahanan sambil menjelaskan idea yang cuba diketengahkannya.

"Orang ramai mengatakan kami melepaskan gol dari sebelah kiri kerana Bernardo bermain di posisi itu.

"Tetapi orang tidak menyedari bahawa dia bertindak seperti bek kiri disebabkan dia harus mempertahankan kedudukan itu," katanya.

"Bernardo membantu kami melakukan apa yang perlu kami lakukan terhadap Nottingham Forest.

"Tanpa Bernardo, tidak mungkin kami sekadar dihukum satu serangan balas selain perlu berdepan 1-2 percubaan berbahaya di penghujung permainan dan kami menguasai permainan. "