Tokyo 2020: Tiada sebarang eksperimen daripada penerjun negara -- Zhuliang

Muzaffar Musa
August 3, 2021 17:32 MYT
Jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang, enggan anak buahnya melakukan sebarang eksperimen dalam pusingan kelayakan acara 10 meter platform individu wanita Sukan Olimpik Tokyo esok.
Ini bagi mengelakkan sebarang keputusan yang tidak diingini di Pusat Akuatik Tokyo yang boleh meragut peluang dua wakil negara, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong, untuk layak ke peringkat separuh akhir.
Dalam Piala Dunia Terjun Fina di venue sama Jun lalu, Jun Hoong yang cemerlang menduduki tangga teratas peringkat kelayakan dengan 345.30 mata, terkandas dalam separuh akhir selepas menamatkan peringkat itu di kedudukan ke-18.
Mujur rakan seperjuangannya, Pendelela, merangkul pingat emas dalam kejohanan berkenaan.
Mengambil pengajaran daripada perkara itu, Zhuliang menegaskan tiada sebarang eksperimen atau gaya luar biasa akan ditampilkan anak buahnya, sebaliknya mereka hanya memberikan tumpuan untuk memperkemaskan rutin sedia ada dalam memastikan pungutan mata terbaik.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, Zhuliang berkata: "Jun Hoong telah menunjukkan peningkatan ketara memandangkan sebelum ini, prestasinya agak menurun dan boleh dikatakan tidak mencapai standard.
"Tetapi bagi saingan kali ini, hari demi hari, dia semakin baik.
"Kerana pada 2016 (Sukan Olimpik Rio), dia beraksi dalam dua acara, iaitu 10 meter platform dan 3 meter papan anjal seirama dengan Nur Dhabitah (Sabri),
"Kali ini, saya sekali lagi ada bersamanya dan kami hanya fokus kepada satu acara.
"Biarpun pernah mengalami kecederaan lutut sehingga terpaksa dibedah, dia kini sudah bersedia sepenuhnya," katanya.
#Cheong Jun Hoong #Pandelela Rinong #Terjun #Sukan Olimpik Tokyo #Yang Zhuliang
;