Tokyo 2020: Brooker yakin Jun Hoong ada 'senjata rahsia' buru pingat

Muzaffar Musa
July 22, 2021 18:27 MYT
Jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker, percaya penerjun negara, Cheong Jung Hoong, memiliki senjata rahsia untuk memburu pingat dalam acara 10 meter platform individu wanita Sukan Olimpik Tokyo.
Jun Hoong, yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, melambatkan perjalanannya ke Tokyo demi melakukan persediaan yang lebih rapi di tanah air.
Prospek pingat negara itu hanya akan berlepas ke Tokyo pada Sabtu ini memandangkan acara yang disertainya hanya akan bermula pada 4 dan 5 Ogos ini.
Ia memberikannya kelebihan untuk lebih fokus dalam latihannya kerana sesi latihan di Tokyo menetapkan peraturan yang amat ketat buat kesemua atlet yang bertanding
Ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di Pusat Akuatik Tokyo hari ini, Brooker berkata: "Kita dapat lihat apa yang mampu dilakukannya dalam Piala Dunia (Terjun) lalu, di mana dia melakukannya dengan agak baik.
"Sama seperti penerjun lain, tiada siapa dapat menyertai sebarang kejohanan.
"Dia baru sahaja mula menyertai kejohanan tetapi ia tidak mengapa kerana dia tidak kehilangan rentaknya.
"Dia hanya memerlukan beberapa penyesuaian apabila dia tiba di sini dan melakukan apa yang mampu dilakukannya.
"Dia memilih untuk berada di Malaysia untuk mendapatkan sesi latihan yang lebih baik berbanding di sini," katanya.
#Cheong Jun Hoong #Terjun #Sukan Olimpik Tokyo
;