TMJ, Perdana Menteri bincang pelan pembangunan bola sepak Malaysia

Saufi Tahir
October 25, 2024 09:13 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato' Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin, mengadakan pertemuan bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi membincangkan pelan pembangunan bola sepak negara.
Turut hadir bersama adalah Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, dalam berkongsi pandangan untuk meningkatkan taraf bola sepak negara menerusi peruntukan dana RM15 juta yang akan disalurkan bagi memperkukuhkan skuad Harimau Malaya.
"Saya telah hadir bersama Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Dato' Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk membincangkan pelan pembangunan bola sepak Malaysia.
"RM15juta khas yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri untuk pasukan Harimau Malaya perlu digunakan dengan sebaiknya bagi membantu pasukan kebangsaan.
"Patik telah mendengar pandangan dan cadangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam perancangan yang telah disediakan oleh FAM dan semua ini akan diteliti bersama oleh KBSMalaysia dan Kementerian Kewangan.
"Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai pengalaman dalam meningkatkan taraf bola sepak dan saya juga berterima kasih kepada Perdana Menteri secara peribadi kerana memberikan perhatian untuk membantu skuad kebangsaaan kita." kata Hannah Yeoh menerusi laman Facebook.
Sebelum ini, Kerajaan Madani mengumumkan sejumlah RM230 juta bagi memacu industri sukan negara dan peruntukan RM15 juta untuk pembangunan pasukan Harimau Malaya dalam Pembentangan Belanjawan 2025, minggu lalu.
#bola sepak #FAM #TMJ #Harimau Malaya #Persatuan Bola Sepak Malaysia #Hannah Yeoh
;