Thomas hampir tercekik sebelum menang
Penulis Jemputan
August 15, 2017 11:20 MYT
August 15, 2017 11:20 MYT
Pemain golf Amerika Syarikat (AS), Justin Thomas, mendedahkan dia hampir tercekik sebelum mengesahkan kejuaraan utama sulungnya dalam saingan PGA.
Thomas menghasilkan pukulan akhir tiga bawah par 68 untuk memastikan kejuaraan menjadi miliknya, sekaligus memadamkan pendahuluan awal oleh Kevin Kisner.
Thomas turut berjaya menumbangkan cabaran daripada Francesco Molinari, Patrick Reed serta Louis Oosthuizen.
Bagaimanapun, Thomas mendedahkan dia hampir tercekik snek ketika sedang menghampiri pukulan tee lubang 17.
“Ketika menuju ke pukulan tee lubang 17, saya memakan snek dari beg dan tiba-tiba rasa seperti tercekik,” ujarnya.
“Saya cuba untuk makan dan minum dengan banyak, namun ternyata ia terlalu pedas.
“Saya mula batuk dan terfikir adakah ia satu petanda buat saya?” tambahnya.
Thomas berjaya melepaskan pukulan itu dan mara ke peringkat seterusnya manakala Kisner terkandas dalam pukulan tee lubang 16.
Kisner berjaya bangkit, namun tidak mampu menyekat kemaraan Thomas untuk mengesahkan kejuaraannya.