Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois, terpaksa berehat lebih panjang apabila mengalami kecederaan meniskus di lutut kanannya.

Pemain kebangsaan Belgium berusia 31 tahun itu terlepas hampir keseluruhan musim ini disebabkan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialaminya pada Ogos lalu.

Courtois kini kelihatan perlu berehat lebih panjang, dilaporkan sekitar enam minggu, sekali gus terlepas aksi Belgium menentang Republik Ireland dan England dalam tempoh tujuh hari ini selain turut berkemungkinan terlepas dua perlawanan suku akhir menentang Manchester City dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).