Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, tidak berdepan masalah untuk mengekalkan konsistensi lariannya bersama seorang lagi pelari pecut negara, Nur Afrina Batrisyia Rizal, apabila kedua-dua mereka menungguli saringan masing-masing dalam acara 100m Kejohanan Olahraga Terbuka Perak Super Series II di Ipoh hari ini.

Nur Afrina Batrisyia mengungguli saringan ketiga dengan catatan 12.57s manakala Zaidatul Husniah pula menjuarai saringan keenam dengan catatan 12.04s.

Dalam pada itu, saringan 100m lelaki juga diungguli dua pelari negara, iaitu Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa, masing-masing dengan catatan 10.60s dan 10.66s.

Final 100m lelaki dan wanita Terbuka Perak akan berlangsung petang esok selepas perlumbaan peringkat separuh akhir pada sebelah pagi.