Terbuka British: Spieth julang trofi Claret Jug

Penulis Jemputan
July 24, 2017 13:47 MYT
Jordan Spieth dari Amerika Syarikat bangkit pada lima lubang terakhir pada hari terakhir Kejohanan Golf Terbuka British untuk meraih kejuaraan utama yang ketiganya.
Spieth melakukan 12 di bawah par 268 pukulan untuk merangkul hadiah wang tunai ASD1.8 juta (RM7.7 juta).
Kemenangan ini menjadikan Spieth juara termuda kejohanan tersebut sejak 38 tahun lalu selepas era Seve Ballesteros pada 1979.
Dia juga kini muncul pemain ketiga dari AS untuk memenangi tiga kejuaraan utama sebelum usia mencecah 24 tahun.
Rekod sebelum ini dipegang legenda golf dunia dari Amerika Syarikat, Jack Nicklaus. Bagaimanapun pemain ketiga dunia ini dicabar hebat rakan senegara, Matt Kuchar, terutama apabila gagal beraksi baik di lubang ke-13.
Namun, dia bangkit dengan melengkapkan tiga birdie dan satu eagle selepas itu untuk menamatkan saingan hari terakhir dengan satu di bawah par 69 dengan keseluruhan 12 di bawah par 269 pukulan untuk muncul juara.
Bagaimanapun, paling mencuri tumpuan ialah remaja dari China, Li Hao Tong, yang mampu menamatkan saingan di kedudukan ketiga selepas melakukan enam di bawah par 274 pukulan.
Hao Tong menewaskan nama-nama besar, antaranya juara Terbuka Amerika Syarikat, Brooks Koepka, dan Rory McIlroy.
Kuchar pula ketinggalan tiga pukulan di belakang Spieth untuk menduduki tangga kedua dengan bekas pemain nombor satu dunia, McIlroy, berkongsi kedudukan di tangga keempat bersama Rafael Cabrera.
#Rory McIlroy #Jordan Spieth #Matt Kuchar #Golf #Terbuka British
;