Tenis Wimbledon: Swiatek terharu lihat Serena di SW19
Muzaffar Musa
June 26, 2022 13:27 MYT
June 26, 2022 13:27 MYT
Kehadiran Serena Williams dalam Kejohanan Tenis Wimbledon bermula minggu depan membuatkan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek, berasa terharu.
Williams, 40, akan kembali ke All England Club untuk meneruskan misi menyamai rekod 24 gelaran grand slam milik Margeret Court.
Pemain Amerika Syarikat itu hanya beraksi sebanyak dua perlawanan -- kedua-duanya bergandingan dengan Ons Jabeur dalam Kejohanan Antarabangsa Eastbourne -- sejak mengalami kecederaan paha di Wimbledon tahun lalu tetapi kali ini, dia akan kembali bertanding dengan tiket peluang khas.
Tiga tahun lalu, Williams menjadi pemain paling tua layak ke final Kejohanan Wimbledon sebelum tewas kepada Simona Halep.
Enam tahun lalu, dia menjadi pemain tertua memenangi gelaran grand slam itu dengan menewaskan Angelique Kerber.
Bagaimanapun, agak sukar untuk Williams kembali ke pentas final dalam edisi kali ini, terutama dengan prestasi terkini pemain pilihan utama, Swiatek, yang menuju ke SW19 dengan rekod 35 perlawanan tanpa kalah.
Bagaimanapun, Swiatek tanpa berselindung mengakui minatnya terhadap Williams.
? The one thing that I’ve learned over these two years is... ? Jedna ważna rzecz, jakiej nauczyłam się przez te dwa lata...#RolandGarros @rolandgarros pic.twitter.com/pDOcv1mMJO
— Iga Świątek (@iga_swiatek) June 4, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Saya melihatnya semalam, saya agak terharu," kata Swiatek dalam sidang media.
"Saya tidak tahu bagaimana untuk bereaksi. Saya mahu berjumpa dengannya. Saya melihat ramai orang di sekelilingnya. Saya tidak kenal pasukannya. Ia agak janggal.
"Tetapi dengan hanya melihatnya di dekat saya adalah sesuatu yang hebat kerana dia seorang legenda, tiada siapa dapat mencapai apa yang dilakukannya dalam tenis.
"Saya amat yakin dia akan berada dalam keadaan terbaik kerana dia mempunyai banyak pengalaman, baru kembali daripada berehat panjang dan terus beraksi dalam grand salam. Saya fikir dia boleh memanfaatkannya," katanya.