Tenis: Status ranking ATP 18 tahun Rafael Nadal lebur

Shaiful Shamsudin
March 20, 2023 23:42 MYT
Rafael Nadal gagal mempertahankan statusnya dalam kalangan 10 pemain terbaik dunia buat julung kalinya dalam tempoh hampir 18 tahun.
Nadal dalam kelompok 10 teratas sejak April 2005 tetapi semalam, rankingnya jatuh ke tangga ke-13 dalam ranking ATP selepas kecederaan memaksanya terlepas Kejohanan Indian Wells.
Rekod pemain berusia 36 tahun itu berakhir pada hari yang sama rakan senegaranya, Carlos Alcaraz, merampas semula ranking nombor satu daripada Novak Djokovic selepas menewaskan Daniil Medvedev dalam penentuan gelaran Indian Wells.
Nadal masih belum pulih daripada kecederaan pinggul yang menghalangnya daripada beraksi sejak tumpas kepada Mackenzie McDonald dalam Terbuka Australia, Januari lalu.

13 - For the first time since 2005, Rafael Nadal has fallen outside the top-10 of the ATP rankings; he is currently ranked 13 in the world. Alert. #ATP pic.twitter.com/JKDqOttqQ9

— OptaAce (@OptaAce) March 20, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Walaupun pemenang grand slam 22 kali itu berpeluang merebut semula kelompok tersebut sebaik sahaja kembali beraksi, ia tidak akan berlaku pada bulan depan memandangkan dia telah memutuskan untuk menarik diri daripada Miami Masters.
Kedudukan ATP terkini menyaksikan Djokovic jatuh ke kedudukan kedua, Medvedev pula dari tempat keenam ke kelima, Felix Auger-Aliassime naik dari kedudukan ke-10 ke keenam, Hubert Hurkacz lolos dalam kalangan 10 pemain terbaik selepas mendaki dua anak tangga untuk ke kesembilan, manakala Taylor Fritz tergelincir dari tempat kelima hingga ke-10.
#Rafael Nadal #ATP #Tenis