Erik ten Hag harus tidak boleh dipersalahkan jika pengurus dari Belanda itu beranggapan tugas besar pertama dalam musim pengenalannya bersama Manchester United sudah pun terlaksana.

Bangkit daripada tiga kekecewaan sepanjang musim ini, Ten Hag telah akhirnya berupaya mengembalikan The Red Devils di mana mereka berhak – kembali bersaing dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Selepas bermula dengan dua kekalahan pada permulaan musim, yang disusuli oleh perpisahan penuh kontroversi dengan Cristiano Ronaldo, dan rekod kekalahan terbesar ketika dibelasah Liverpool 7-0, Ten Hag selayaknya diberi pujian kerana memacu United berkesudahan dalam kelompok empat teratas musim ini.

Musim depan, seperti yang disorot akhbar Daily Mirror dalam laporannya, cabaran buat Ten Hag ialah cuba merapatkan jurang dengan juara, Manchester City, yang ketika ini dipisahkan 17 mata.

Ia jarak yang terlalu jauh buat United untuk digolongkan sebagai pencabar kejuaraan musim depan sekalipun jika mereka berjaya mendapatkan buruan utama dalam pasaran perpindahan, Harry Kane, pada musim panas ini.

Namun, ketepikan itu buat sementara.



Kesudahan dalam kelompok empat teratas, trofi pertama dalam enam musim ketika menjulang Piala Carabao, di samping peluang untuk satu lagi dalam final Piala FA, 3 Jun nanti, memadai untuk melambangkan musim pertama yang mengujakan buat Ten Hag.

Pemain tengah, Casemiro, menawarkan peringatan tepat pada masanya terhadap ‘kelas’ dimilikinya sambil United menokok kepada musim bercelaru Chelsea yang tersembam dalam kekalahannya yang ke-16 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Casemiro membuka akaun jaringan buat United dan terus mengambil peranan selaku pemimpin orkestra pasukan, yang melonjak ke tangga ketiga carta tanpa mampu dihambat lagi oleh Liverpool, yang terhumban ke Liga Europa.

Bintang Brazil itu – perpindahannya yang bernilai £70 juta (RM398 juta) daripada Real Madrid adalah satu pembelian paling teliti di bawah Ten Hag -- jelas berperanan besar dalam mengembalikan United untuk bersaing dengan yang terbaik di Eropah.

Ten Hag mengumpamakan pemain berusia 31 tahun itu dengan ‘simen basah yang mengikat batu-bata’ tapi selepas penggantungan keduanya pada pertengahan Mac, Casemiro dilihat bukan pemain yang serupa sekembalinya dia kira-kira sebulan kemudian.

Namun, sepakan guntingnya dalam kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth hujung minggu lalu dan keberkesanannya dalam kemenangan 4-1 ke atas Chelsea, mengesahkan dia sudah kembali ke tahap terbaiknya menjelang final Piala FA menentang City.



Jika United mahu menewaskan seteru terdekat mereka itu dan menggagalkan lawan daripada meniru kejayaan ‘treble’ The Red Devils pada 1999, mereka harus sekali lagi bersandarkan kepada pengalaman dan pengaruh Casemiro di Wembley.

Dengan kelayakan ke UCL kini terjamin, Ten Hag memiliki opsyen untuk merehatkan pemain penting seperti Casemiro untuk kunjungan ke Fulham, Ahad ini, bagi memastikan dia cergas untuk berdepan barisan pimpinan Pep Guardiola itu hujung minggu depan.

Apa pun kesudahannya nanti, Ten Hag boleh berlapang dada yang misinya sudah terlaksana dalam musim pengenalannya dalam EPL.