Tak tahu nak cakap apa lagi

Burn Thevandran
September 8, 2016 08:57 MYT
Tewas kepada pasukan yang persatuan bola sepaknya digantung setahun oleh FIFA, tanpa sebarang perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa dan berada di ranking 191, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima peminat bola sepak tanah air.
Sudah tentu ranking skuad Malaysia yang berada di tangga ke-167 kini akan terkesan dengan kekalahan 3-0 di tangan Indonesia kelmarin. Sudah tentu, Datuk Ong Kim Swee kini pening memikirkan apakah ramuan terbaik yang mampu dijelmakan memandangkan saingan Piala Suzuki AFF cuma tinggal kurang lagi dua bulan.
Jangan jadikan alasan kecederaan pemain mahupun isu persaraan pemain sebagai punca utama persembahan longlai pasukan Harimau Malaysia kerana saya percaya, Malaysia memiliki ramai lagi pemain berbakat yang mahu berbakti buat negara. Yang tak mahu main buat negara, biarkanlah mereka.
Apa yang ketara adalah persembahan longlai barisan pertahanan, selain ketumpulan jentera serangan dan ini ditambah dengan beberapa kesilapan individu yang dilakukan sehingga pihak lawan mampu menjaringkan tiga gol.
Sedikit pesanan buat Datuk OKS, mungkin beliau sudah boleh ketepikan pemain yang tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama kelab, dan juga ketepikan beberapa pemain yang sering melakukan kesilapan individu yang menghukum rakan sepasukan.
Jika skrip persembahan yang sama berterusan, sudah tentu keputusan serupa bakal berulang, apabila Malaysia bertemu Singapura dan Afghanistan pada Oktober nanti.
#Blog
;