Sukma Sarawak: Ally Hamuda Abdullah atlet gimnas kebanggaan Sarawak

Azreena Faizal
May 31, 2024 20:09 MYT
78 hari lagi menjelang temasya Sukma edisi ke-21!
Sudah banyak atlet kelahiran Sarawak yang telah kita bongkarkan latar belakang dan pencapaiannya yang telah membanggakan negara.
Ally Hamuda Abdullah ialah atlet dari Bumi Kenyalang yang bakal kita rungkaikan hari ini.
Ally dilahirkan pada tahun 2002 di Sarawak dan merupakan seorang gimnas yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam sukan itu sejak usia muda.
Ally telah mencapai banyak kejayaan dalam pelbagai kejohanan. Dia berjaya mencatatkan prestasi terbaiknya di Sukma edisi ke-20 Kuala Lumpur dengan memenangi pingat emas dalam acara gelang roman lelaki.
Pada Sukma yang sama, dia juga menyumbang kejayaan kepada kontinjen Sarawak yang memenangi satu emas, satu perak dan satu gangsa.
Di peringkat antarabangsa, Ally telah menyertai beberapa Siri Piala Dunia FIG termasuk di Doha, Baku, Cottbus dan Cairo pada tahun 2024 dan dia sering berada dalam kelompok 40 teratas pada peringkat kelayakan acara gelang roman.
Selain kejayaan dalam pertandingan, Ally juga menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap sukan itu dengan menangguhkan dua semester pengajiannya dalam bidang Zoologi untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada gimnastik.
Sebagai seorang gimnas muda yang berbakat, Ally terus berusaha untuk meningkatkan prestasinya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Usaha dia bukan sahaja membanggakan negeri Sarawak tetapi juga negara Malaysia di pentas dunia.
Dengan dedikasi yang tinggi dan sokongan daripada jurulatih serta keluarga, Ally dijangka akan terus mencapai kejayaan lebih besar dan menjadi inspirasi kepada gimnas muda yang lain di Malaysia.
#Gimnastik #Sukma #Sukma Sarawak