Sukma Sarawak 2024: Senyuman tidak lekang bukti kekuatan mental srikandi skuasy Sarawak
Muzaffar Musa
August 17, 2024 19:39 MYT
August 17, 2024 19:39 MYT
Aksi di atas gelanggang bukan hanya bersandarkan kepada bakat semata-mata, malah kebijaksanaan menguasai emosi juga menjadi faktor penyumbang dalam kejayaan seseorang atlet.
Sebagai pelajar jurusan psikologi di Kolej Colby, Amerika Syarikat, pemain squash Sarawak, Nathalie Sim, menguasai aksi di gelanggang squash dengan senyuman yang tidak lekang sepanjang perlawanan.
Dalam aksi yang cukup penting, kekuatan mental menjadi taruhan akhir dan itulah yang berlaku dalam aksi pusingan pertama squash beregu campuran di antara Sarawak menentang Wilayah Persekutuan hari ini.
Nathalie bersama pasangannya, Harith Danial Jefri, mencatatkan kemenangan 11-2, 9-11, 11-8 ke atas P. Pradeep Dev-Puteri Rania Zahirah Mior Ahmad Nazril.
"Saya hanya fikir yang saya perlu positif dan fokus kepada setiap mata kerana setiap mata penting," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Seperti yang saya katakan, setiap perlawanan sukar dan kami perlu menghadapinya dari satu perlawanan ke satu perlawanan untuk membantu Sarawak mendapatkan pingat.
"Dalam Sukma, semua pasukan terbaik bertanding, jadi setiap perlawanan amat penting," katanya.