Sukma Sarawak 2024: Semangat kerjasama resepi pencapaian cemerlang kontinjen Wilayah Persekutuan
Saufi Tahir
August 31, 2024 18:16 MYT
August 31, 2024 18:16 MYT
Pengarah Skuad Sukma Wilayah Persekutuan, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Salleh, menjadikan kerjasama serta sokongan padu daripada pihak Pengurusan Tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan menjadi resepi kepada kecemerlangan kontinjen Wilayah Persekutuan di Sukma Sarawak (Sukma) 2024.
Dia juga menjelaskan sekiranya MSWP mempunyai kompleks sukan sendiri semestinya ia akan membantu perkembangan prestasi atlet-atlet untuk lebih berjaya pada masa akan datang.
"Mengenai resepi ia adalah kerjasama dan sokongan padu daripada persatuan serta Pengurusan Tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan. Menteri, ketua pengarah dan atlet-atlet.
"Jika berbicara tentang perancangan jangka masa panjang, kami merupakan satu-satunya majlis sukan negeri yang tiada kompleks sukan sendiri.
"Jika kami ada kemudahan seperti di Terengganu, maka atlet kita akan lebih bersedia dalam saingan Sukma semestinya. Kami banyak terima bantuan daripada DBKL dan berkongsi tempat latihan bersama komuniti," katanya.
Nik Ahmad Zahiruddin turut berkongsi bahawa pihak MSWP telah memberikan elaun kepada pemain sejak Januari lagi. Malah, mengenai insentif buat atlet yang menyumbangkan pingat, dia menjelaskan bahawa perkara itu akan diumumkan pada masa terdekat.
"Pasukan bola sepak kami telah bantu dengan membayar elaun kepada pemain sejak Januari. Tiada isu antara MSWP dan pasukan bola sepak kecuali 11 pemain yang ada masalah dengan majikan mereka.
"Seperti dijanjikan, akan ada ganjaran dan semua atlet yang menang pingat emas, perak dan gangsa. jumlahnya akan diumumkan nanti." katanya kepada Nadi Arena.