Sukma Sarawak 2024: Ketekunan Robin Hood Kampung Nakhoda buah pingat emas buat Wilayah Persekutuan
Muzaffar Musa
August 18, 2024 19:30 MYT
August 18, 2024 19:30 MYT
Jika ada anugerah atlet paling tekun, ia sudah pasti menjadi milik pemanah Wilayah Persekutuan, Afiq Zufar Mohamad Shah.
Atlet berusia 21 tahun itu memberi sepenuh jiwanya untuk sukan memanah sejak berusia 13 tahun.
Dia bukan hanya melakukan perubahan kategori dari recurve ke compund, bahkan terpaksa juga berhenti belajar demi kilauan pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Hasilnya, dia memenangi pingat emas acara 50 meter compund lelaki di Lapang Sasar Petra Jaya hari ini.
Tiada niat untuk mengetepikan kepentingan pelajaran, sebaliknya Afiq Zufar mahu mengabadikan momen terindah itu bersama keluarganya memandangkan ia merupakan edisi pertama dan terakhirnya dalam Sukma.
Afiq Zufar mengakui dia akan kembali fokus kepada pencapaian akademik biarpun dia kini disanjung sebagai Robin Hood Kampung Nakhoda sebagai tanda sokongan masyarakat setempat di mana dia membesar.
Bercakap mengenai perjalanannya, dia berkata kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis: "Dari rumah saya ke tempat latihan di Sri Petaling agak jauh, dalam 40 minit perjalanan.
"Jadi setiap hari, saya akan sampai di padang pada jam 8.30 pagi.
"Saya juga terpaksa berhenti belajar di UiTM Pasir Gudang kerana mahu fokus kepada Sukma disebabkan saya takut tidak boleh seimbangkan kedua-duanya.
"Selepas ini, saya akan kembali fokus kepada pembelajaran. Sebelum ini saya mengambil jurusan Kejuruteraan Sivil tetapi selepas ini, saya akan mengambil jurusan Pengurusan Sukan di KPTM (Kolej Poly-Tech MARA).