Kelantan meraikan pingat emas sulung buat Kelantan dalam skuasy Sukan Malaysia (Sukma) apabila gandingan Muhammad Amir Amirul Azhar-Wee Ming Hock menewaskan Ong Sai Hung-Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif 2-1 dalam penentuan gelaran beregu lelaki.

Pada awal pertarungan, Kelantan mendahului Kedah 1-0 dengan keputusan 11-9 sebelum pencabar dari Kedah itu bangkit menyamakan kedudukan apabila menang set kedua 11-5, tetapi Kelantan tidak gentar malah terus memberi saingan dan menguasai set ketiga 11-5, sekali gus meletakkan pilihan utama berkenaan di tempat kedua dalam edisi ke-20 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

"Kami sangat gementar dalam set ketiga jadi kami cuba bermain dengan selamat.

"Saya akan fokus kepada Sukma 2024 memandangkan ia penyertaan terakhir.

"Mungkin saya akan meyertai acara perseorangan dan mendapatkan satu lagi emas," kata Amir Amirul.

Ming Hock berharap kejayaan ini mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih besar lagi apabila bakal menyertai kejohanan PSA di Bangladesh dari 1-10 Oktober depan.

"Mereka dapat hidu kelemahan kami dan kami cuba beri tentangan sampai jumpa kelemahan mereka juga.

"Kami cuba hasilkan teknik latihan kami dan buat yang terbaik," katanya pula.

Dalam pada itu, gangsa menjadi milik gandingan Negeri Sembilan, Darren Rahul Pragasam-Sanjay Jeeva, yang menewaskan Ameeshenraj Chandaran-Shamiel Haeuzad Sharulhisam 2-0.

Pemain negara dari Kedah, Aifa Azman, yang bergandingan dengan adiknya, Aira, mengungguli emas bagi beregu wanita selepas menumbangkan Lai Wen Li-Yee Xin Ying dari Sabah 2-0.

Kejayaan itu merawat duka Aifa yang menarik diri dalam separuh akhir saingan individu akbibat kecederaan sementara Aira yang meraih perak selepas tewas kepada Chan Yiwen dari Wilayah Persekutuan dalam final.

Sementara itu, beregu Wilayah Persekutuan, Yiwen-Noor Aimaa Amani Ampandi, menguasai wakil Kedah, Wong Heng Wai-Sehveetrraa Kumar, 2-0 untuk meraih pingat gangsa.