SUKMA 2026: Perak perkuat barisan atlet wanita hadapi SUKMA Selangor
King Hisyam
December 10, 2024 13:39 MYT
December 10, 2024 13:39 MYT
Perak kini akan memberikan tumpuan untuk memperkasakan barisan atlet wanitanya untuk lebih berdaya saing dan juga mampu menjadi prospek untuk memungut pingat dalam sebarang acara sukan terutamanya bagi menghadapi cabaran pada temasya dwi tahunan SUKMA yang bakal berlangsung di Selangor pada 2026.
Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, penekanan akan lebih menjurus kepada beberapa jenis sukan yang dilihat mampu menjelmakan pingat buat negeri itu.
Ia memandangkan persaingan dalam acara sukan wanita di negeri itu yang membabitkan wanita masih lagi dianggap kurang sedangkan prospek pingat yang dipertandingkan adalah besar.
"Untuk makluman daripada jumlah atlet yang telah bertanding pada kejohanan SUKMA Sarawak yang lalu, kita masih memiliki 262 atlet yang masih lagi layak bertanding di (SUKMA) Selangor nanti.
"Jadi sudah pastilah jumlah 262 ini di mana ia terdiri daripada atlet lelaki 132 orang, perempuan 130 ini, mereka ini adalah teras kepada persiapan dan juga pemilihan atlet untuk Kem Belang Tarung Tiga Warna 2.0 ini." Katanya kepada media pada Selasa.
Menerusi Program Belang Tarung Tiga Warna 2.0 (Extended Versions 2025) katanya akan memberikan fokus khusus untuk semua atlet negeri itu dalam memperkuatkan lagi peranan mereka untuk memastikan kejayaan yang mampu dicapai nanti.
Perak juga akan memberikan fokus khusus kepada beberapa jenis sukan yang dilihat mampu menghadikan kilauan pingat khususnya pingat emas buat negeri itu.
"Contohnya bagi sukan akuatik kita ada renang dan terjun, kita ada 18 atlet yang masih boleh bertanding untuk SUKMA 2026 di Selangor. Begitu juga memanah (15 atlet), menembak (10 atlet), olahraga (20 atlet), sukan tempur dan semua sukan wajib yang lain.
"Pastilah Kem Belang Tarung Tiga Warna 2.0 (Extended Versions 2025) akan memberi fokus dalam 28 sukan utama tersebut kerana ia sudah pasti akan dipertanding di SUKMA nanti." Katanya lagi.