SUKMA 2024: Sanusi 'tidak sensitif', cukuplah cari publisiti, jadi hero -- Farkhan Haron

Ammar Hakim
July 14, 2024 10:58 MYT
Petinju profesional negara, Farkhan Haron, membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengenai permintaan untuk membantu kontinjen Kedah menjelang saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak.
Sanusi sebelum ini tular apabila meminta bantuan daripada kerajaan Sarawak untuk membantu kontinjen Kedah untuk menampung sebahagian daripada kos penghantaran kontinjen Kedah ke Sukma.
Menerusi laman sosial peribadi, Farkhan memberikan pandangan terhadap isu tersebut, menyatakan pengorbanan yang telah dilakukan oleh negeri borneo itu setiap kali menghadapi kejohanan di Semenanjung Malaysia.
"YAB Datuk Seri, pada pandangan peribadi saya, tidak perlulah Datuk Seri mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa bagi mendapat perhatian Kerajaan Negeri Sarawak kerana selain mengeluarkan dana yang besar bagi penganjuran Sukan Malaysia, Sarawak telah mengeluarkan dana yang besar bagi menampung segala jenis kejohanan peringkat kebangsaan, SUKMA, bola sepak dan lain-lain program yang wajib mereka sertai di Semenanjung Malaysia.
"Sebagai seorang Menteri Besar, beliau perlu lebih peka dan sensitif dalam mengeluarkan kenyataan tanpa menyinggung perasaan mana mana pihak kerana sebagai seorang pemimpin seharusnya beliau perlu lebih banyak membaca, menjaga tatasusila dan adab kerana setiap gerak geri dan kenyataan beliau bukan sahaja mencerminkan pendirian kerajaan negeri tetapi akan memberi kesan jangka panjang terhadap Negeri Kedah itu sendiri.
"YAB Datuk Seri, Kedah sememangnya merupakan salah satu daripada 14 negeri di dalam negara kita, Malaysia. Penubuhan Sukan Malaysia (SUKMA) adalah untuk menyatu padukan seluruh rakyat Malaysia melalui sukan dan untuk kita mencari bakat dan pelapis muda yang akan menjadi aset dan atlet bertaraf dunia. Jangan disebut soal semangat kesukanan jika kita tidak faham maksud dan istilah berkenaan. Kewajaran setiap negeri untuk menyertai SUKMA adalah perlu, dalam menunjukkan sokongan kita terhadap tuan rumah di dalam penganjuran mereka.
"Mungkin YAB terlupa dan belum wujud ketika negeri Kedah menjadi tuan rumah SUKMA pada tahun 2006, dan saya masih ingat dengan jelas pada waktu itu kerana saya adalah salah seorang pemenang Pingat Emas bagi edisi tersebut. Negeri Sarawak dan Sabah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk memohon Kerajaan Negeri Kedah menampung sebarang kos menyertai kejohanan SUKMA Kedah 2006.
"Cukup cukuplah YAB dalam mencari publisiti atau cubaan menjadi Hero. Kita perlu renung dan muhasabah diri bagaimana sahabat Borneo kita yang sentiasa hadir dalam menjayakan apa jua acara dan program untuk bersama rakan rakan Semenanjung mereka dari 1963 sehingga kini tanpa gagal.
"Unity is Beauty."
#Kedah #Sarawak #Sukma 2024
;