SUKIPT: Syaqiera Mashayikh cipta rekod baru temasya
Saufi Tahir
September 10, 2024 18:23 MYT
September 10, 2024 18:23 MYT
Olimpian negara, Syaqiera Mashayikh mencipta rekod baru temasya dalam set pertama dengan mengumpul 331 mata berbanding rekod 327 mata yang diciptanya dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) edisi lalu sekali gus meraih pingat emas acara Memanah Recurve Women 70M Round , hari ini.
Ketika ditanya mengenai perbezaan prestasi peribadi dalam edisi lepas dan kini, dia lebih yakin bahawa dirinya berada di landasan tepat untuk kali ini memandangkan ini merupakan tahun terakhirnya menyertai SUKIPT.
"Ini merupakan SUKIPT terakhir jadi saya ingin melakar memori terbaik disini, dan bagi saya SUKIPT kali ini adalah memori terbaik." kata Syaqiera Mashayikh.
Dalam pada itu, Nur Ariana Dania mengakui agak tertekan pada permulaan dan berasa gemuruh apabila terlalu memikirkan segala tumpuan yang bakal diberikan terhadapnya yang turun dengan gelaran olimpian negara.
Namun, dia berjaya mengetepikan segala gangguan dan merekodkan panahan terbaik dengan jumlah 669 mata.
"Pada awalnya saya berasa agak tertekan memandangkan sudah lama tidak beraksi dalam kejohanan dalam negara. Ia berbeza untuk untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tetapi selepas beberapa panahan saya kembali dapat momentum saya." katanya.
Nurul Azreena Fazil pula tetap teruja dengan penyertaan kali pertama di SUKIPT dan mampu membuahkan hasil yang cukup positif.
Dia juga berasa teruja ketiga-tiga olimpian termasuk dirinya mendominasi kedudukan podium selain berharap kejayaan itu mampu berikan suntikan motivasi terhadap pemanah yang lain.