Kontinjen Sukan SEA negara memikul tanggungjawab berat dalam merealisasikan misi Kita Juara tetapi reputasi sebagai sukan terbaik Malaysia menyaksikan badminton berada di bawah tekanan luar biasa.

Chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Marina Chin, yang berkunjung ke Akademi Badminton Malaysia hari ini akur reputasi badminton sebagai antara sukan berprestasi tinggi perlu menghadirkan kejayaan dalam temasya KL2017.

Ini ditambah dengan keperluan skuad badminton negara mengimbangi dua kempen berprofil tinggi secara serentak, Sukan SEA dan Kejohanan Dunia.

Marina berasakan ini adalah peluang terbaik buat pemain muda negara untuk menempa nama tanpa kelibat pemain bertaraf bintang dunia seperti Datuk Lee Chong Wei.

"Kita mempunyai peluang di mana pemain senior dapat memberi tunjuk ajar kepada pemain muda.

"Ia pendedahan yang baik buat pemain muda tetapi seperti yang saya katakan, apa jua boleh berlaku dalam mana-mana kejohanan.

"Selepas membuat lawatan ke atas skuad badminton hari ini, saya lihat semangat mereka yang cukup tinggi lalu saya berpesan kepada mereka, saya mahu mereka memberikan usaha yang terbaik.

"Itu sahaja yang saya harapkan," ujarnya.

Malaysia dijangka ditentang hebat skuad badminton Thailand dan Indonesia yang difahamkan menghantar wakil utama mereka bagi saingan KL2017.

"Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah membuat keputusan yang betul demi matlamat jangka panjang badminton di Malaysia.

"Saya yakin pemain senior dan remaja negara dapat menghadapi cabaran dan dengan semangat yang ada, mereka akan melakukan sesuatu dalam Sukan SEA."