Sukan SEA: Peluang Nixson rebut tempat masih terbuka

Astro Arena
May 18, 2017 20:20 MYT
Pelari pecut negara, Nixson Kennedy, melontarkan cabaran awal buat pelari lain untuk membuktikan dia tetap unggul di atas balapan meskipun catatan peribadi terbaiknya, 10.25 saat, ditarik balik ekoran masalah teknikal.
Catatan Nixson dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang pada bulan lalu itu ditarik balik ekoran bacaan di papan elektronik dan video tidak selari.
Baginya, ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan situasi mengecewakan sebegini.
Kali terakhir dia melakar catatan peribadi terbaik adalah dua tahun lalu dalam Terbuka Malaysia dengan catatan 10.50 saat.
Saingan Terbuka Malaysia, Julai depan dilihat sebagai medan terbaik untuk dia membuktikan kemampuan antara pelari terbaik negara ketika ini dalam usahanya menempatkan diri dalam skuad olahraga Sukan SEA, 19-30 Ogos depan.
"Banyak kali dah perkara seperti ini berlaku, saya pun dah malas nak fikirkan.
"Yang penting dalam kejohanan besar nanti, penentuannya kita tengoklah siapa yang terpilih nanti," kata atlet kelahiran Sarawak itu.
Jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, turut melahirkan perasaan terkilan terhadap pihak penganjur, walaupun menganggap ia berita baik buat Nixson kerana masih dalam pemantauan untuk mengisi slot kuartet 100 meter negara.
"Saya agak kecewa keputusan catatan dalam Terbuka Pahang dibatalkan. Begitupun, dia masih lagi dalam pemantauan kami.
"Dia berpeluang untuk membuktikan keupayaannya dalam kejohanan akan datang seperti Kejohanan Terbuka Thailand. Dia berpeluang untuk memberi cabaran kepada peserta lain," tambah Zainal.
#Athletics #o
;