Kejayaan kontinjen negara menepati sasaran 111 pingat emas dalam Sukan SEA kali ini mengurangkan sedikit tekanan tetapi pada masa sama masih memburu beberapa lagi pingat emas yang dipertandingkan.

Malaysia memperoleh pingat emas ke-111 susulan kejayaan Azizulhasni Awang menjuarai acara pecut lelaki di Velodrom Nasional Nilai, malam tadi.

Lantas, ia memenuhi sasaran yang ditetapkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dalam aspirasi untuk muncul juara keseluruhan.

Namun, Timbalan Ketua Kontinjen Negara, Jefri Ngadirin, yakin jumlah berkenaan akan terus meningkat kerana Malaysia menyasarkan 23 lagi emas yang menjadi rebutan pada hari ini.

"Sebenarnya, pada hari ini kami masih lagi menunggu sasaran berikutnya kerana sebanyak 23 emas disasarkan hari ini. Saya rasa kami mampu mengutip hampir 20 emas hari ini."

Secara keseluruhan, Jefri mengakui pencapaian meraih emas ke-111 telah meredakan sedikit tekanan yang dilalui kontinjen negara.

Kini tumpuan akan terus terarah untuk memastikan Malaysia melakar pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan temasya dwi-tahunan itu sambil meraikan sambutan kemerdekaan ke-60 negara, Khamis ini.

"Semua rasa lebih tenang sekarang memandangkan tekanan untuk mencapai sasaran 111 emas telah pun dicapai semalam.

"Kami rasa bangga kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sendiri turun ke Hotel Renaissance bagi menyambut kejayaan bersama-sama atlet," tambahnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.