Umpama buat baju tanpa ukur badan sendiri akhirnya memakan diri.

Sasaran berat berada dalam kumpulan maut meletakkan barisan pemain serta jurulatih B-22 negara dalam situasi tertekan demi realisasi misi negara dalam Sukan SEA Kemboja.

Dua perlawanan sukar yang dianggap satu pertemuan normal sebelum terbang ke Kemboja membawa padah apabila anak buah E. Elavarasan bersama anak buah menempah tiket pulang awal sebaik tewas kepada Vietnam, malam tadi, sekali gus mengulangi kekecewaan 2019.

Kecewa sudah pasti tetapi ketua jurulatih itu memilih untuk tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.

"Dengan keadaan padang dan cuaca seperti ini, ia akan mengubah suasana permainan yang mengundang aksi agresif yang tidak diingini oleh kedua-dua pasukan.





"Pemain perlu sedar bahawa dalam keadaan cuaca sebegini, apakah bentuk permainan yang boleh dijangkakan.

"Adakalanya berlaku tindakan yang boleh dipersoalkan jadi kami kehilangan keseimbangan," katanya.

Baginya, kekalahan 1-2 di Stadium Prince itu mungkin tidak menyebelahi skuad negara, namun prestasi pemain adalah lebih baik jika dibandingkan dengan edisi lalu.

"Walaupun sudah terkeluar daripada separuh akhir tapi kami perlu selalu positif terhadap persediaan.




"Walaupun harapan tinggi yang diletakkan, tahap persembahan kami bertambah baik memandangkan kami akan mengharungi kejohanan lain pula walaupun sudah tersingkir dalam kejohanan paling penting.

"Tapi pemain telah berikan 100 peratus dalam permainan," katanya.