Atlet lompat tinggi yang sedang meningkat naik, Eizlan Dahalan, bertekad untuk menyambung legasi legenda negara, Lee Hup Wei, dalam Sukan SEA Hanoi pada Mei depan.

Menjelang penampilan pertamanya dalam temasya itu, Eizlan mahu mengekalkan reputasi Malaysia sebagai kuasa besar Asia Tenggara dalam acara itu, terutama selepas Hup Wei mengumumkan persaraannya baru-baru ini.

Sebagai rekod, Hup Wei merupakan pemenang empat pingat emas Sukan SEA manakala seorang lagu jaguh negara, Nauraj Singh, merupakan juara bagi edisi 2013, 2015 dan 2017.

Terdahulu, dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan pada Disember lalu, Eizlan mengatasi Hup Wei untuk meraih pingat emas dengan catatan 2.14 meter.

Dia kini sedang berlatih secara bersendirian di Sabah sambil menunggu panggilan untuk memulakan program latihan kebangsaan di Majis Sukan Negara (MSN).

"Setakat ini, saya tidak meletakkan jangkakan daripada segi catatan kerana macam-macam boleh berlaku pada ketika itu," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya harap dapat melakukan yang terbaik untuk mendapatkan catatan peribadi terbaik saya kerana saya yakin dapat melakukan catatan yang lebih baik dalam pertandingan itu.

"Seperti yang kita tahu, lompat tinggi merupakan sukan yang mampu menyumbangkan pingat emas buat negara dan ia dikekalkan dalam edisi lalu.

"Itu adalah cabaran buat kami, terutama ia adalah edisi pertama saya mewakili Malaysia.

"Sukan SEA akan berlangsung pada Mei depan, hanya sebulan sahaja lagi untuk melakukan persiapan.

"Saya harap dapat mengekalkan prestasi dan akan menjalani latihan secara konsisten," katanya.