Berbaki dua hari sahaja lagi sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur membuka tirai secara rasmi, pelbagai elemen kejutan boleh dijangkakan dalam upacara pembukaannya, Sabtu ini.

Dianggarkan 84,000 penonton akan memenuhi Stadium Nasional di KL Sports City, Bukit Jalil bagi menyaksikan upacara pembukaan dengan kesemua tiket telah pun habis dijual.

Lantaran itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menggesa mereka untuk datang lebih awal ke stadium dengan pintu masuk akan dibuka bermula jam 4.00 petang.

Ia akan disusuli beberapa pra-pertunjukan yang dimulakan pada jam 6.00 petang, dengan acara utama dijadualkan berlangsung pada jam 8.00 malam.

Khairy turut menjelaskan penggunaan teknologi moden akan menjadi tumpuan utama.

"Teknologi yang kami ada adalah sesuatu yang tidak pernah digunakan lagi dan saya berharap kita semua akan terhibur.

"Kami akan cuba menjadikannya dalam sudut 360 darjah, termasuk penonton di rumah, untuk cuba memberikan persembahan yang pasti diingati dalam perspektif mereka," katanya.

Dalam pada itu, Khairy yakin masalah kesesakan penonton untuk memasuki stadium seperti yang berlaku di Stadium Shah Alam bagi acara bola sepak tidak akan berlaku semasa upacara pembukaan nanti.