Ketua kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali, mengharapkan pingat emas daripada skuad hoki dalam temasya dwitahunan itu..

Sasaran itu dibuat susulan prestasi baik pasukan dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini.

Sementara itu, Nasir juga berharap kemenangan yang diraih itu mampu dijadikan pembakar semangat buat kem hoki senior dalam misi melayakkan diri ke Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

"Perkara paling penting adalah memastikan pingat emas di Kemboja. Saya berharap ia akan dijadikan penyuntik semangat untuk skuad negara menghadapi saingan kelayakan Sukan Asia dan Sukan Olimpik," kata Nasir.

Memenangi pingat emas bukan masalah besar susulan empat pemain senior dipanggil serta skuad bimbingan Amin Rahim.

Menurutnya, edisi kali ini kelibat pemain senior, Muhamad Ramadan Rosli, Muhamad Zaimi Mat Deris serta Muhammad Najib Abu Hassan dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar akan turun memperkukuhkan keampuhan pasukannya.

"Mereka akan turut serta dalam pasukan selepas cuti raya nanti. Saya tak risau kerana mereka juga menjalani latihan yang sama di mana konsep dan corak permainan juga sama dan saya tidak nampak sebarang kesukaran pemain senior untuk biasakan diri apabila bersama (skuad remaja) nanti.

"Saya harap dengan kehadiran pemain senior akan membantu pasukan ini untuk meraih pingat emas buat negara," katanya.