Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan bintang meningkat naik, Justin Hoh antara pemain yang menjadi taruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, bermula 5-17 Mei ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann berkata, dua pemain itu akan disertai seorang lagi pemain lelaki, Ong Ken Yon, serta Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita).

Beliau berkata, mereka meletakkan sasaran untuk pemain lelaki sekurang-kurangnya mara ke final.

"Mereka (perseorangan lelaki) perlu harus belajar dan ambil kesempatan ini, kerana kami percaya pemain negara mampu bawa cabaran secukupnya untuk raih pingat," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengulas mengenai cabaran kem perseorangan wanita, Choong Hann berkata, barisan kejurulatihan tidak meletakkan sasaran tinggi dan berharap mereka dapat memperagakan tahap permainan berkualiti tinggi di temasya sukan dwitahunan itu.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky pula membuat langkah berani dengan menyenaraikan beregu kurang berpengalaman bagi membawa cabaran negara di pentas Sukan SEA kali ini.

Beliau berkata, antara gandingan yang diberi kepercayaan beraksi di Kemboja ialah gandingan lelaki Goh Boon Sze-Rayner Beh dan pasangan kembar wanita Cheng Su Hui-Cheng Su Yin.

"Peminat mungkin mempersoalkan mengapa tidak mempertaruhkan gandingan Muhammad Haikal Nazri dan Nur Izzuddin Rumsani, mahupun Goh Sze Fei-Choong Hon Jian, namun bagi saya sudah sampai masanya kita tampil lebih berani dengan berikan peluang kepada mereka.

"Pastinya barisan pemain Indonesia dan Thailand cukup bagus, namun kita perlu elakkan daripada tidak memberi kepercayaan kepada beregu muda, kerana jika tidak bila lagi mereka mahu dapat peluang bermain," katanya.

Rexy berkata, kesemua barisan pemain beregu yang dipilihnya itu telah membuktikan kemampuan mereka, selain memiliki disiplin tinggi ketika dalam sesi latihan.

Pakar beregu dari Indonesia itu juga, menyasarkan skuad beregu untuk membawa pulang sekurang-kurangnya gangsa dan akan menilai semula warna pingat yang mampu diraih selepas dua pencabar terdekat, Indonesia dan Thailand mengumumkan barisan pemain mereka ke Kemboja. - Bernama

Berikut merupakan senarai penuh barisan pemain negara ke Sukan SEA 2023:

Perseorangan lelaki: Leong Jun Hao, Justin Hoh, Ong Ken Yon

Perseorangan wanita: Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching

Beregu lelaki: Goh Boon Sze-Rayner Beh, Chia Wei Jie-Liew Xun

Beregu wanita: Cheng Su Hui-Cheng Su Yin, Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan, Valeree Siow (berpasukan)

Beregu campuran: Yap Roy King-Yap Ling, Choong Hon Jian-Cheng Su Yin

Simpanan: Lee Shun Yang (lelaki), Ong Xin Yee (wanita)

kredit: Sinar Harian