Sukan Para Asia: Kontinjen negara tambah tiga pingat emas

Muzaffar Musa
October 25, 2023 18:42 MYT
Kontinjen negara menambah tiga lagi pingat emas dalam Sukan Para Asia di Hangzhou, China hari ini.
Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, mencipta sensasi meraih pingat emas kategori 72 kilogram dengan rekod baru temasya, 230 kilogram.
Badang kerdil dari Sarawak itu membuat penampilan keduanya dalam temasya berkenaan dan cemerlang menukar pingat perak yang dimenanginya dalam edisi di Jakarta pada 2018 kepada pingat emas.
Kejayaan itu kemudian disusuli dengan satu lagi pingat emas daripada kem olahraga menerusi Ammar Aiman Nor Azmi dalam acara 400 meter T20.
Atlet Bocia, Noor Askuzaimey Mat Salim turut cemerlang meraih emas, sekaligus menghimpunkan tujuh pingat emas buat kontinjen negara setakat saingan hari ketiga.
Terdahulu, Malaysia meraih empat pingat emas sepanjang dua hari pertama menerusi Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dalam acara renang, Nur Suraiya Muhammad Zamri (berbasikal trek), Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh).
#Powerlifting #Bonnie Bunyau Gustin #Sukan Para Asia Hangzhou #Ammar Aiman Nor Azmi #Noor Askuzaimey Mat Salim
;