Sukan Para ASEAN: Kontinjen negara cemerlang lepasi sasaran emas
Muzaffar Musa
June 7, 2023 20:22 MYT
June 7, 2023 20:22 MYT
Kontinjen para negara cemerlang melepasi sasaran 33 pingat emas dalam Sukan Para ASEAN 2023 di Phom Penh, Kemboja.
Skuad renang para negara muncul penyumbang terbesar dengan 22 pingat emas untuk kontinjen negara kini menduduki tangga keempat keseluruhan dengan 42 emas 35 perak dan 26 gangsa menjelang majlis penutupan pada Jumaat ini.
Skuad renang menambah empat lagi pingat emas hari ini dengan Ethan Khoo Yu Ji mengungguli acara 200 meter gaya bebas S14 lelaki di Pusat Akuatik Morodok Techo sebelum Zy Kher Lee memenangi emas acara 200m rampaian individu SM5 lelaki.
Abd Halim Mohammad kemudian memenangi emas acara 200m rampaian individu SM8 lelaki sebelum Fraidden Dawan meraih pingat emas ketiga peribadinya dalam edisi kali ini dengan memenangi acara 200m ramnpaian individu SM10 lelaki.
Nicodemus Manggoi Moses, dalam pada itu, meraih dua pingat emas dalam acara powerlifting atas 88 kilogram, masing-masing bagi angkatan terbaik dan angkatan keseluruhan.
Sebagai rekod, Malaysia memperoleh pingat emas ke-33 dalam acara ping pong beregu kelas 9 lelaki menerusi gandingan Chee Chaoming-Brady Chin malam tadi.