Sukan Olimpik Tokyo: Jun Hoong pertaruh darjah kesukaran 2017

Shaiful Shamsudin
June 29, 2021 20:49 MYT
Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, akan kembali menggunakan darjah kesukaran sama seperti ketika muncul juara dunia 2017 menjelang Sukan Olimpik Tokyo, bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Ia sebagai langkah terakhir untuk menaiki podium selepas rayuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berjaya memastikannya membuat penampilan ketiga.
"(Pasti) ada perbezaan tetapi saya agak kesuntukan masa untuk mencapai tahap sebelum ini.
"Mungkin akan ada banyak rintangan tetapi saya hanya perlu fokus kepada aspek yang baik.
"Saya harap tidak terganggu dengan faktor luaran," katanya ketika ditemu bual maya oleh wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.
Jun Hoong berpeluang merangkul pingat dalam temasya di Jepun itu jika mengulangi prestasi dalam Kejohanan Dunia 2017.
Ketika itu dia mengetepikan dua penerjun China yang merupakan pilihan utama dalam final 10m individu platform.
Lantas, penerjun kelahiran Ipoh, Perak, itu sedar ia misi yang realistik berbanding meningkatkan darjah kesukaran lebih tinggi, tiga minggu sebelum ke Tokyo di samping seorang lagi penerjun negara, Pandelela Rinong, yang akan turut beraksi dalam acara sama.
Bagaimanapun, bukan mudah untuk menumbangkan China yang mendominasi emas dan perak dalam Kejohanan Dunia 2019.
"Saya tidak akan tukar apa-apa lagi apabila sudah di tahap ini.
"Saya cuma mengharapkan ketekalan prestasi dan kemampuan dalam semua aspek", katanya lagi yang meraih tangga ke-18 dalam Piala Dunia 2021.
#Cheong Jun Hoong #Terjun #Sukan Olimpik Tokyo
;