Sukan Asia Hangzhou: Weng Son terlepas sumbang pingat

Ammar Hakim
September 24, 2023 12:22 MYT
Atlet wushu kebangsaan, Wong Weng Son, terlepas peluang menyumbang pingat pertama kontinjen negara di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 susulan menamatkan saingan akhir changquan lelaki di kedudukan kedua tercorot di Hangzhou sebentar tadi.
Keputusan mengejutkan di Pusat Sukan Xiaoshan Guali itu, menyaksikan Weng Son kempunan menaiki podium Sukan Asia buat julung kali pada penampilan keduanya dalam temasya berkenaan selepas membuat penampilan pertama pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu mengumpul keseluruhan 9.000 mata untuk menamatkan saingan di tempat ke-13 daripada keseluruhan 14 peserta.
Pingat emas dimenangi atlet tuan rumah, Sun Peiyuan, yang juga juara dunia 2015, selepas mengumpul keseluruhan 9.840 mata sekali gus mempertahankan kilauan yang dimenangi edisi lalu.
Juara dunia 2019 dan pemenang emas Sukan SEA 2023, Edgar Xavier Marvelo, dari Indonesia meraih perak (9.786 mata) dan gangsa menjadi milik wakil Macau, Song Chi Kuan, selepas memungut 9.760 mata.
#Sukan Asia #Wushu #Wong Weng Son
;