Soh Wai Ching bangga menang 10 daripada 13 perlumbaan sepanjang 2021
Muzaffar Musa
January 1, 2022 00:37 MYT
January 1, 2022 00:37 MYT
Pelari menara nombor satu negara, Soh Wai Ching, mencipta sejarah apabila memenangi 10 daripada 13 kejohanan yang disertainya sepanjang tahun lalu.
Dalam satu temu bual Nadi Weekend hari ini, atlet berusia 28 tahun itu berkata dia berbangga dengan pencapaian itu, di mana antara kejohanan kegemarannya sepanjang 2021 adalah perlumbaan di Abu Dhabi dan New York.
"10 kemenangan daripada 13 perlumbaan, selama empat bulan berulang-alik ke United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), ia sememangnya mencabar disebabkan perjalannya dan perubahan larangan penerbangan dari negara ke negara.
"Jadi, itulah sebahagian daripada cabaran yang saya lalui. Sebelum berlepas ke sesuatu tempat, saya perlu membaca dan mengetahui mengenai undang-undang di sana.
"Satu lagi cabarannya adalah mengenai kejohanan itu sendiri kerana bukan semua kejohanan itu adalah larian menara yang bertangga. Ada pelbagai jenis larian yang saya sertai.
"Saya boleh katakan bahawa perlumbaan yang paling saya ingati adalah perlumbaan di Bangunan Empire State (New York) kerana saya menjadi pelari Asia pertama memenangi perlumbaan itu sejak 1978.
"Larian kegemaran saya pula adalah Larian Spartan (Abu Dhabi) kerana ia merupakan pengalaman pertama saya berlari di padang pasir sepanjang 24 kilometer.
"Ia amat-amat mencabar kerana hanya ada empat tempat minum dan anda perlu terus berlari di atas permukaan pasir yang terlalu lembut," katanya.