Pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold, lega apabila dapat mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan pemain Mesir, Nadine Shahin, dalam perlawanan suku akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Rachel mengakui kehilangan fokus ekoran perancangannya yang tidak menjadi pada awal perlawanan tetapi lega apabila dapat kembali ke rentak sebenarnya untuk mencatatkan kemenangan 3-1 (6-11, 11-1, 11-9, 11-9).

Dalam satu temu bual Nadi Arena, dia berkata: "Saya amat berbangga dengan diri saya hari ini kerana kebiasaannya saya mudah hilang fokus -- dan saya juga hilang fokus hari ini -- tetapi saya dapat melakukan yang secukupnya dan mempamerkan aksi yang baik dalam set keempat, jadi saya amat gembira hari ini.

"Jurulatih memberitahu saya perlu lebih garang kerana saya amat pasif dalam set pertama dan saya fikir perubahan itu membantu saya," katanya.

Dalam pada itu, juara bertahan, Aifa Azman, gagal ke separuh akhir selepas tewas 3-0 (9-11, 4-11, 2-11) kepada wakil Belgium, Nele Gilis.