Juara bertahan, Aifa Azman, tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia selepas menewaskan rakan senegara, Ainaa Amani Ampandi, 3-0 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil hari ini.

Selaku pemain berpengalaman, Aifa mengawal rentak permainannya untuk mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 11-6, 11-4, 11-8.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, dia berkata: "Yang pertama, saya mahu mengucapkan tahniah juga buat Ainaa Amani kerana melepasi perlawanan sukarnya dengan kemenangan 3-2 semalam.

"Saya juga amat gembira dapat mencatatkan kemenangan 3-0 hari ini.

"Saya turun ke gelanggang dengan perancangan permainan yang amat baik dan saya mencuba untuk melaksanakannya dengan baik sebelum menang 3-0, jadi saya amat gembira dengan pencapaian saya," katanya.

Turut melangkah ke suku akhir adalah seorang lagi pemain kebangsaan, Rachel Arnold, yang meraih kemenangan 3-1 (10-12, 12-10, 11-7 11-9) ke atas wakil England, Crace Gear.

"Saya fikir saya tidak dapat mengekalkan fokus 100 peratus sepanjang perlawanan kerana ia banyak turun dan naiknya hari ini.

"Jadi, untuk perlawanan esok, saya akan mencuba untuk kekal fokus bagi keseluruhan perlawanan.

"Mungkin kerana ini kejohanan di laman sendiri, jadi saya agak gugup pada awal perlawanan. Harap-harap esok saya akan memanaskan badan dan bersedia untuk beraksi," kata Rachel.