Skuasy: Sivasangari cemerlang raih kejuaraan di Hong Kong

Muzaffar Musa
November 25, 2023 11:53 MYT
Ratu skuasy negara, S. Sivasangari, cemerlang meraih gelaran keduanya musim ini apabila menjuarai Kejohanan Terbuka Football Club Hong Kong hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu menewaskan juara dua kali Kejohanan Remaja Dunia dari Mesir, Amina Orfi, 11-9, 11-8, 11-5.
Hanya 38 minit diperlukan jaguh negara itu untuk mencatatkan kemenangan dalam aksi final berkenaan.
"Saya amat-amat gembira. Sejujurnya saya rasakan yang saya telah bermain baik sepanjang minggu ini.
"Saya agak gugup dalam pusingan pertama kerana saya tidak berasa baik tetapi melangkah dalam setiap perlawanan, saya menjadi lebih baik.
"Hari ini, segala perancangan permainan saya berjalan dengan betul dan saya amat gembira dapat menang hari ini, terutama 3-0 ke atas lawan yang amat berbakat," katanya.
#Skuasy #S. Sivasangari