Skuasy Klasik London: Sivasangari tamatkan penantian sembilan tahun negara ke final

Muzaffar Musa
April 1, 2024 09:37 MYT
Ratu skuasy negara, S. Sivasangari, bangkit daripada ketinggalan untuk mara ke final kejohanan kategori Jelajah Dunia Emas PSA buat kali pertama dalam kariernya dengan mengejutkan wakil Belgium, Nele Gilis, dalam separuh akhir Kejohanan Skuasy Klasik London awal pagi tadi.
Kejayaan itu turut menyaksikan Sivasangari menjadi pemain Malaysia pertama ke final kejohanan tahap emas Jelajah PSA selepas kali terakhir dilakukan Datuk Nicol David pada 2015.
Pemain nombor empat dunia, Gilis, mendahului 3-0 dalam rekod pertemuan dengan Sivasangari tetapi jelas berhati-hati dengan pemain di ranking ke-16 dunia berkenaan, terutama selepas Sivasangari menumbangkan pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini, dalam suku akhir.
Sivasangari layak ke final dengan mencatatkan kemenangan 10-12, 11-7, 11-8, 10-12, 11-9 selepas bertarung selama 94 minit.
Dia seterusnya akan bertemu pemain pilihan kedua dari Mesir, Hania El Hammamy, bagi penentuan kejuaraan hari ini.
#Skuasy #S. Sivasangari #Skuasy Klasik London
;