Serie A: Kecemerlangan Lukaku kekalkan Napoli di puncak

Muzaffar Musa
October 5, 2024 09:24 MYT
NAPOLI 3 COMO 1
Romelu Lukaku meneruskan permulaan cemerlangnya di Napoli apabila pemain kebangsaan Belgium itu menghasilkan satu gol dan dua bantuan jaringan ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Como di Stadio Diego Armando Maradona awal pagi tadi.
Pasukan tuan rumah itu hanya memerlukan 26 saat untuk berada di depan apabila Scott McTominay menemui umpanan Lukaku untuk pemain kebangsaan Scotland itu menjaringkan gol pertamanya buat Gli Azzurri.
Bagaimanapun, Como tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi percubaan jarak jauh Gabriel Strefezza yang menuju tepat ke penjuru bawah berselang dua minit.
Napoli bimbingan Antonio Conte kemudian kembali berada di depan selepas lapan minit babak kedua bersambung, kali ini menerusi sepakan penalti Lukaku susulan insiden Mathias Olivera dijatuhkan Sergi Roberto.
Selepas menjaringkan gol keempatnya musim ini, Lukaku meneruskan kecemerlangannya dengan membantu jaringan pemain gantian, David Neres, pada minit ke-86.
Dengan kemenangan itu Napoli kini melebarkan penguasaan mereka di puncak Serie A dengan kelebihan empat mata berbanding pencabar terdekat, Juventus, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
#bola sepak #Napoli #Romelu Lukaku #Serie A