EMPOLI 4 JUVENTUS 1

Juventus sah ditolak 10 mata oleh Persekutuan Bolasepak Itali berikutan ketidatelusan akaun kewangan kelab itu.

Pasukan Serie A itu pada awalnya ditolak 15 mata pada Januari lalu tetapi hukuman berkenaan ditangguh sementara selepas proses rayuan.

Badan induk itu kini membuat keputusan untuk mengenakan satu hukuman baru selepas campur tangan mahkamah rayuan dan ia bermakna, pasukan berkenaan kelihatan bakal terlepas saingan peringkat Eropah musim ini.

Hukuman itu dikenakan selepas kelab itu didapati sengaja meningkatkan nilai pemain dalam akaun mereka menggunakan keuntungan modal.

Dalam pada itu, mahkamah rayuan -- dengan mengekalkan pertuduhan teradap kelab berkenan -- membebaskan barisan pegawai seperti Pavel Nedved, Paolo Garimberti, Assia Grazioli Venier, Caitlin Mary Hughes, Daniela Marilungo, Francesco Roncaglio dan Enrico Vellano daripada pertuduhan masing-masing.

Kelab itu dalam satu kenyataan balas berkata bahawa mereka sudah mengambil maklum terhadap perkara itu dan "berhak mengetahui alasan di sebaliknya untuk mengemukakan rayuan yang sepadan".

Penolakan mata itu menyaksikan Juve kini jatuh ke tangga ketujuh Serie A dan dibezakan satu mata daripada kelayakan ke saingan Eropah selepas tewas 1-4 kepada Empoli di Stadio Carlo Castellani awal pagi tadi.

Dalam perlawanan itu, Francesco Caputo muncul pemain paling cemerlang menerusi dua jaringan pada minit ke-18 dan 47 sambil Sebastiano Luperto (m-21) dan Roberto Piccoli (m-93) turut menemui sasaran buat Empoli, sekali gus menjadikan gol Federico Chiesa buat Juve pada minit ke-85 sudah tidak bermakna.