JUVENTUS 1 VERONA 0

Moise Kean menjaringkan gol tunggal untuk Juventus melakarkan kemenangan kelima berturut-turut dalam kesemua kejohanan selepas menewaskan Verona 1-0 dalam perlawanan Serie A di Arena Allianz awal pagi tadi.

Perlawanan itu, bagaimanapun, berlangsung agak hambar jika diira daripada segi peluang yang dihasilkan kedua-dua pasukan, di mana percubaan Danilo yang terkena tiang gol menjadi aksi terbaik sepanjang 45 minit pertama.

Kean kemudian memastikan penyokong tuan rumah mempunyai sesuatu untuk diraikan apabila menyempurnakan satu gerakan serangan menarik yang dilakukan Juve.

Dia menyudahkan gerakan itu pada minit ke-55 selepas menerima umpanan Manuel Locatelli sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menjaringkan gol liga keenamnya musim ini.

Biarpun beraksi di bawah tahap sebenar, kemenangan itu menyaksikan Juve kini hanya ketinggalan empat mata di belakang pasukan di tangga kelima, Atalanta, dan ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keenam, AS Roma, yang akan menentang Sampdoria tengah malam ini.