INTER MILAN 0 FIORENTINA 1

Inter Milan berdepan rekod kekalahan perlawanan liga terburuk dalam tempoh enam tahun selepas tewas 0-1 di tangan Fiorentina dalam perlawanan Serie A di San Siro awal pagi tadi.

Gol tandukan Giacomo Bonaventura dalam babak kedua sudah cukup untuk Fiorentina memberikan kekalahan liga ketiga berturut-turut buat pasukan bimbingan Simone Inzaghi berkenaan.

Jaringan tunggal itu hadir tidak lama selepas Romelu Lukaku terlepas peluang paling berharga buat Inter, di mana dia gagal menemui sasaran dari dalam petak penalti biarpun gawang di depannya sudah terbuka luas.

Inter juga hampir menyamakan kedudukan sewaktu percubaan jarak jauh Nicolo Barella terkena palang gol tetapi jaringan berkenaan masih tidak kunjung tiba sehingga wisel penamat dibunyikan untuk Nerazzurri akur menelan kekalahan ke-10 dalam saingan liga musim ini.