FIORENTINA 2 AC MILAN 1

David de Gea menyelamatkan dua sepakan penalti sebelum Albert Gudmundsson menjaringkan gol kemenangan untuk Fiorentina menewaskan AC Milan 2-1 dalam perlawanan Serie A di Stadio Artemio Franchi awal pagi tadi.

Dalam aksi penuh ketegangan itu, tiga sepakan penalti berhasil diselamatkan dan dua kad merah dilayangkan sebelum Fiorentina menghentikan rentak kemenangan Milan bimbingan Paulo Fonseca dalam Serie A.

Tuan rumah terlebih dahulu terlepas peluang sepakan penalti apabila percubaan lemah Moise Kean diselamatkan Mike Maignan sebelum jaringan penyerang itu dibatalkan gara-gara ofsaid.

Bekas penyerang Milan, Yacine Adli, memecahkan kebuntuan buat tuan rumah menerusi penyudah rendahnya dan De Gea selepas itu memastikan Fiorentina terus berada di depan menuju ke bilik persalinan dengan menafikan sepakan penalti Theo Hernandez.

Gol Kean sekali lagi dibatalkan gara-gara ofsaid dalam babak kedua dan Milan terus berdepan badi sepakan penalti, kali ini daripada tendangan Tammy Abraham yang dinafikan De Gea.

Menjelang sejam permainan, Christian Pulisic akhirnya dapat menyamakan kedudukan buat pelawat hasil percubaan voli gemilangnya tetapi drama selepas itu berterusan dengan percubaan leret Gudmundsson melintasi kawalan Maignan untuk Fiorentina kembali di depan pada minit ke-73.

Keadaan kian tegang apabila jurulatih Fiorentina, Raffaele Palladino, diarahkan keluar padang, tidak lama sebelum Hernandez turut menerima kad merah berikutan pertengkarannya dengan pengadil selepas wisel penamat.