Harimau Malaya terikat 1-1 dalam aksi Pestabola Merdeka berdepan Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia turun beraksi di Bukit Jalil buat pertama kali di bawah kendalian pengendali sementara, Pau Marti, susulan Kim Pan-gon memilih untuk meninggalkan pasukan kebangsaan.

Turun beraksi dalam keadaan padang yang agak baik, Malaysia berusaha untuk mendapatkan jaringan di awal permainan, namun setiap langkah menemui jalan gagal.

Bagaimanapun, Malaysia terpaksa mengejar permainan apabila mereka ketinggalan menerusi jaringan yang disempurnakan oleh Jefferson Tabinas pada minit ke-27, hantaran silang pemain itu terkena kaki pertahanan tengah skuad negara, Feroz Baharuddin sekaligus menewaskan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed.

Jaringan yang dinanti-nantikan akhirnya tiba buat Malaysia apabila Syamer Kutty Abba menyamakan kedudukan pada minit ke-43.

Keputusan kekal 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.