Semangat juang tinggi dalam kalangan pemain remaja wanita negara disifatkan penyumbang kepada kemenangan Malaysia dalam Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia di Chennai, India pada Ahad.

Malah penolong jurulatih, Andrew Cross tanpa berselindung menegaskan skuad remaja wanita memiliki keazaman tinggi untuk menjuarai kejohanan tersebut.

Menurutnya, prestasi dipamerkan dalam kalangan pemain amat memberangsangkan terutamanya tonggak utama, Aira Azman yang bangkit dari kekalahan di separuh akhir, ketika berdepan India.

“Sejujurnya secara keseluruhan persembahan ditampilkan pasukan remaja wanita negara layak diberikan pujian.

“Pasukan ini ternyata cemerlang apabila mengetahui hanya mereka boleh menjadi pasukan yang menang atau kalah.

“Ya, sememangnya saya amat gembira dengan prestasi dalam kalangan mereka terutamanya Whitney (Isabelle Wilson) and Doyce (Lee) di kejohanan ini. Sebenarnya arena skuasy negara masih mempunyai masa depan yang cerah,” kata Cross.


Terdahulu, skuad skuasy remaja wanita negara mencipta sensasi apabila mengungguli Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia selepas menewaskan Hong Kong 2-0 pada aksi final.

Bintang muda negara, Aira Azman bermula cemerlang apabila menyumbang mata pertama menerusi kemenangan ke atas Wai Sze Wing 11-2, 11-9, 11-5.

J. Yasshmita melengkapkan kemenangan negara apabila diberikan tentangan sengit Tse Yee Lam Toby sebelum menang 11-5, 7-11, 11-9, 9-11, 11-7.

Untuk rekod, ini merupakan kemenangan berpasukan keempat berturut-turut Malaysia dalam acara wanita di peringkat remaja Asia selepas memenangi pada 2015, 2017 dan 2019.

kredit: Sinar Harian